bicara hati


Mana ada ibu bapa yang sanggup melihat anaknya kebuluran sedangkan dia sendiri tersandar kekenyangan. Mana ada ibu bapa yang sanggup berpakaian cantik sedangkan anaknya berpakaian koyak rabak. 
Jadi, di manakah hujah untuk mengatakan ibu bapa gagal berbuat baik kepada anak-anak?

Untuk hidup dengan sempurna, pakejnya mesti lengkap. Rumah, pakaian, makan minum dan sebagainya, namun itu hanyalah keperluan luaran. Ia sebahagian daripada harga pakej yang perlu dipertaruhkan. Ada lagi yang tidak kurang penting malah kadang-kadang jauh lebih penting daripada apa yang disebutkan tadi? Tidak lain tidak bukan KEFAHAMAN.

Ramai remaja merasakan dirinya tidak dipedulikan apabila ibu bapa gagal mempamerkan bahawa mereka memahami apa yang tersembunyi di dalam lubuk hati mereka. Mereka merasakan dua alam yang berbeza. Susah sungguh untuk berbicara dengan orang tua. Susah sungguh untuk memahamkan mereka tentang gejolak hati remaja. Dalam masa yang sama orang dewasa sentiasa membanding-bandingkan anak-anak mereka dengan zaman yang pernah mereka lalui dahulu.
“Ayah, pada usia macam engko ni, dah pergi menoreh cari duit. Engko bukan je malas, nyakitkan hati pulak!” Itu bahasa yang biasa dikeluarkan untuk melambangkan kekecewaan yang terlampau. 

Ibu dan ayah memang wajar berasa sedih dan kecewa dengan perlakuan anak-anak mereka. Anak-anak juga wajar merasakan dia tidak dipedulikan walaupun nyata tiada apa yang kurang. Makan, pakaian, tempat tinggal dan kasih sayang; semua diperolehi tanpa kompromi. 

Cuma satu yang kurang – tiada komunikasi dari hati ke hati.
Pincangnya satu-satu hubungan keluarga ialah kemesraan yang amat kurang dan terlalu memendam perasaan. Apabila hal demikian mengambil tempat, renungkan firman TUHAN, “... dan berbuat baiklah, kerana sesungguhnya ALLAH menyukai (mencintai) orang yang berbuat baik.”

Salah satu kaedah berbuat baik ialah saling memahami dan komunikasi hati ke hati.



Comments

Popular posts from this blog

PULAU PERHENTIAN MAC 2018

anak sulung..